WANITA kerap dikaitkan dengan pelbagai peranan penting dalam menjamin keharmonian rumah tangga, masyarakat dan negara. Namun, hakikatnya, sama ada kita sedar atau tidak, peranan yang dikhususkan kepada wanita itu diselewengkan sehingga menimbulkan pelbagai kesan buruk. Ini terbukti dengan bertambahnya jumlah wanita yang rosak akhlak, kadar kes perceraian, serta berleluasanya perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anak muda akibat daripada salah asuhan atau pengaruh persekitaran. Fenomena ini sewajarnya dipandang serius kerana keutuhan masyarakat pada masa akan datang banyak bergantung kepada sejauh mana wanita menangani permasalahan ini secara bijaksana. Dalam sesebuah rumah tangga, dua peranan utama yang sewajarnya dimainkan oleh seseorang wanita iaitu sebagai isteri dan ibu. Seorang isteri sentiasa mendampingi suaminya sama ada dalam keadaan susah atau senang. Ibu pula terbabit secara langsung dalam memberi pendidikan kepada anak-anak serta menjaga hal ehwal rumah tangga dengan bantuan suami. Wanita dan kerjaya Islam membenarkan wanita keluar bekerja berdasarkan kepada keperluan seperti ketika ketiadaan suami, ketidakupayaan suami atau bekerja dalam jawatan yang memerlukan khidmat wanita seperti doktor, tenaga pengajar kepada kaum wanita serta bidang lain yang bersesuaian. Bagaimanapun menurut Islam, keharusan wanita untuk keluar bekerja mestilah mengikut batas syarak iaitu: Kerja itu mesti bersesuaian dengan sifat kewanitaan. Kerja itu tidak menjejaskan peranannya sebagai isteri dan ibu Bertujuan murni sama ada untuk membantu keluarga atau menyampaikan kesedaran Islam kepada wanita lain Sentiasa memelihara kehendak syarak seperti menutup aurat. Sentiasa menjaga tata susila dan terhindar daripada berlakunya pergaulan bebas dengan lelaki. Mendapat restu daripada penjaga, bapa atau suami. Mengelak daripada melakukan perkara yang boleh membawa fitnah sama ada dari segi tindakan, cara berpakaian atau mengenakan perhiasan. Apa yang pasti dengan keluarnya wanita bekerja tidak akan mengubah atau mengabaikan tanggungjawabnya utama sebagai serikandi dan bidadari dalam rumah tangga. Wanita dan tanggungjawab sosial Apabila memperkatakan peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara, sejarah membuktikan bahawa sejak zaman Rasulullah, wanita secara aktif memainkan peranan mengikut batas ditetapkan. Misalnya, wanita bersama-sama lelaki mempelajari ilmu dan petunjuk Islam. Ada di antara mereka meriwayatkan hadis, bahkan Saidatina Aishah menunjukkan ketokohannya sebagai seorang yang mencapai kedudukan ilmu tinggi, sehingga sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan Osman bertanya kepadanya mengenai ilmu faraid. Wanita juga berperanan sama dengan lelaki dalam usaha membendung keburukan yang berlaku dalam masyarakat kerana ini adalah tanggungjawab setiap Islam. Kepincangan dan kebejatan, terutama di kalangan muda-mudi hari ini sewajarnya menarik perhatian wanita untuk sama-sama berganding bahu mencari penawar paling mujarab. Tugas ini berat dan memerlukan kesabaran, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak. Menangani peranan wanita secara bijaksana Keadaan semasa secara tidak langsung memaksa wanita memainkan peranan seimbang di antara alam rumah tangga dan dunia masyarakat luar. Hal ini sebenarnya cabaran besar kepada wanita dan meletakkan wanita di persimpangan. Persoalannya ialah sejauh mana seseorang wanita itu mampu melaksanakan semua tanggungjawab di atas serentak atau wajarkah mereka mengabaikan salah satu daripadanya? Jawapannya, pasti terletak di tangan wanita. Sesungguhnya wanita sentiasa memerlukan bantuan dan sokongan daripada semua pihak agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Tuesday, May 13, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)